TUJUAN DAN PENERIMAAN

 TUJUAN

Tujuan merupakan salah satu tahap runtutan. Tujuan dan penerimaan merupakan salah satu ciri penting dalam wacana yang sangat berkaitan dengan tautan dan runtutan. Setiap perkara yang diujarkan dalam bentuk lisan atau tulisan mestilah mempunyai tujuan atau objektif tertentu. Tujuan tersebut pula adalah ditentukan oleh penulis atau penutur itu sendiri. Sesuatu ujaran atau tulisan itu mestilah mempunyai tujuan untuk mewujudkan interaksi yang komunikatif. Akhirnya, tujuan tersebut akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk menentukan tujuan seseorang penulis atau penutur itu.

 

Menentukan Tujuan Melalui Ayat

Ayat Tanya

Ayat tanya memainkan peranan yang penting dalam mengenalpasti tujuan terhadap sesuatu ijaran atau tulisan. Menurut Tatabahasa Dewan (2008), terdapat dua jenis ayat tanya iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup. Kedua-dua jenis ayat ini pula akan menghasilkan tujuan tertentu. Sekiranya pertanyaan merupakan ayat tanya terbuka, jawapan adalah bersifat pelbagai. Manakala bagi ayat tanya tertutup pula jawapannya hanya memberi pilihan sama ada ya atau tidak.

Ayat Perintah

Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah ini merupakan ayat yang bertujuan untuk memberi arahan, larangan, ajakan atau menyampaikan permintaan.

Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit dan sebagainya.

 

 

Menentukan Tujuan Melalui Pemerihalan Teks

Runtutan

Penulis atau penutur akan menggunakan rentetan bagi tujuan memerikan teks atau peristiwa secara berurutan. Teks yang berurutan akan dibaca atau didengar mengikut rentetan. Semakin pembaca atau pendengar membacanya atau mendengarnya, mereka akan lebih mudah memahami tujuan teks tersebut ditulis atau diujarkan.

Tautan

Tautan digunakan untuk mewujudkan pertalian antara teks. Tautan ini boleh dilihat melalui pengulangan, sinonim, antonim, ekuivalensi, penghubung, elipsis, substitusi dan kata ganti. Apabila berlaku aspek-aspek tautan di atas, tujuan terhadap sesuatu teks itu diujarkan atau ditulis akan semakin jelas.

 

PENERIMAAN

Penerimaan merupakan pemahaman pendengar atau penutur terhadap teks yang diujar atau ditulis. Aspek penerimaan ini sangat berkait rapat dengan aspek tujuan. Hal ini disebabkan oleh kefahaman yang tinggi tentang tujuan sesuatu teks akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap teks tersebut turut meningkat. Maksudnya di sini ialah pembaca atau pendengar akan lebih memahami teks tersebut. Seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis mahupun penutur dapat difahami atau tidak. Oleh yang demikian, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah wacana.

 

 

 

 

 

 

Tahap Penerimaan

Wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam pertuturan dan penulisan. Hal ini memperlihatkan kesinambungan fikiran sama ada baik dari segi aspek komunikasi atau konteks. Selain itu, wacana juga merupakan satu rentetan ujaran yang berkaitan antara satu sama lain mengikut urutan kalimat-kalimat. Menurut Asmah Hj Omar (1986), wacana ialah keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau penulis. Pelahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang ke arah menjadikan sesuatu pertuturan atau tulisan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna dalam komunikasi. Dalam analisis wacana, terdapat beberapa tahap yang dapat dilakukan untuk memperoleh pemahaman yang mendalam tentang teks yang dianalisis. Tahap penerimaan atau tahap awal dalam analisis wacana melibatkan pemahaman dan pengumpulan data awal dari teks yang akan dianalisis. Melalui tahap penerimaan ini, langkah awal yang akan dilakukan adalah membaca teks secara keseluruhan untuk mendapatkan pemahaman awal tentang isinya. Hal ini dikatakan dapat membantu untuk mengidentifikasi topik, struktur dan konteks teks. Selain itu, antara langkah awal yang boleh dilaksanakan adalah pengidentifikasi tujuan dan pertanyaan penelitian.yang telah menetapkan tujuan analisis wacana dan merumuskan pertanyaan penelitian yang akan dijawab melalui analisis. Hal ini membantu memfokuskan penelitian dan menentukan aspek-aspek tertentu yang akan dianalisis. Tahap penerimaan ini penting karena memberikan dasar yang kuat untuk langkah-langkah analisis wacana yang lebih lanjut. Dengan memahami teks secara menyeluruh dan mengumpulkan data yang relevan, peneliti dapat melanjutkan ke tahap analisis yang lebih mendalam untuk menjawab pertanyaan penelitian yang telah ditetapkan.

Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2012), penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutan. Penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan juga pemahaman pendengar ataupun pembaca terhadap sesebuah teks. Pada tahap penerimaan, seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas ataupun tidak. Oleh sebab itu, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah wacana. Seterusnya, tahap penerimaan seseorang itu tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Tahap penerimaan dalam analisis wacana ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

 

Penerimaan Tinggi

Penerimaan tinggi bermaksud sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan oleh penutur dan penulis sama ada bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan akan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Selain itu, penerimaan yang tinggi terhadap sesuatu wacana yang diujarkan menunjukkan keberhasilan sesuatu penghasilan wacana tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, penerimaan tinggi menunjukkan wacana tersebut menerima tarikan pendengar atau pembaca kerana mudah difahami dengan jelas. Melalui tahap ini juga seseorang penulis atau pembicara dapat mengembangkan idea topik dengan sempurna dan lengkap bagi memudahkan pembaca memahami tujuan penulisan dan berpuas hati dengan pembacaan supaya penulisan yang disampaikan dapat difahami dengan mudah. Contohnya seperti yang berikut:

Pandemik COVID-19, juga dikenali sebagai pandemik koronavirus atau wabak koronavirus ialah pandemik penyakit koronavirus 2019 yang sedang berlaku secara global berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Wabak ini pada mulanya dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, Hubei, China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Virus ini kebanyakannya menular antara seseorang dengan cara yang serupa dengan influenza, melalui titisan pernafasan daripada batuk atau bersin. Ia dianggap paling mudah berjangkit apabila seseorang menerima tanda gejala, walaupun penyebarannya mungkin sebelum gejala muncul. Masa antara pendedahan dan permulaan gejala biasanya lima hari, tetapi mungkin berkisar antara dua hingga empat belas hari. Gejala umum termasuk demam, batuk, dan sesak nafas. Komplikasi mungkin termasuk radang paru-paru dan sindrom kesukaran pernafasan akut.

Berdasarkan contoh ayat di atas adalah dianggap sebagai wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut bermakna dan memperlihatkan saling berkaitan antara suatu ayat dengan suatu ayat yang seterusnya. Hal ini pastinya memberikan kefahaman dan kejelasan kepada pembaca atau pendengar terhadap teks. Berdasarkan ayat tersebut ayat topiknya ialah Pandemik Covid 19. Ayat di atas saling berhubung antara ayat yang lain. ayat tersebut dilihat menepati tujuan seseorang penulis dalam sesebuah wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut mempunyai makna dan mempunyai kesinambungan antara ayat-ayat. Maka dengan itu, pembaca dapat memahami tujuan penulis tersebut. Hal ini menunjukkan tahap tujuan seseorang adalah sama tinggi dengan tahap penerimaan pembaca apabila pembaca dapat memahami teks yang ditulis oleh penulis ayat ini. Contoh ayat lain boleh dilihat di bawah:

Durian ialah buah daripada beberapa spesies pokok dalam genus Durio. Buah yang dihasilkan ini bersaiz besar, beraroma kuat dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan penuh duri, daripada duri-duri kulit buah itulah durian mendapat namanya. Ia amat terkenal di Asia Tenggara dengan gelaran "raja buah". Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 sm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 paun). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies.

Berdasarkan contoh di atas, ayat yang terdapat dalam teks tersebut dianggap sebagai sebuah wacana kerana membawa makna. Hal ini dikatakan demikian kerana, ayat tersebut menunjukkan bahawa penulis ingin menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca tentang sesuatu perkara iaitu berkaitan dengan pokok durian. Tahap penerimaan pembaca terhadap teks tersebut dapat dinilai dan disebabkan oleh itu pembaca dapat memahami tujuan penulis menulis wacana tersebut. Maka denga itu, tahap tujuan seseorang penulis adalah sama dengan tahap penerimaan pembaca.

Kemurungan adalah perkataan seharian yang merujuk kepada perasaan sedih yang dialami oleh seseorang individu. Namun sebenarnya perkataan ini sukar ditafsirkan. Ini adalah disebabkan kemurungan boleh membawa kepada banyak maksud dan ia boleh digunakan dalam pelbagai keadaan. Mengikut (Dacey & Kenny,1977) kemurungan boleh dianggap sebagai satu perkataan, suatu sindrom atau suatu penyakit klinikal. Setiap individu akan mengalami perasaan sedih atau muram pada masa yang tertentu sepanjang hayatnya. Bagi kebanyakan orang, gangguan emosi ini hanya berjangka masa pendek sahaja. Namun dalam kes-kes tertentu perasaan murung ini berlanjutan sehingga membawa kepada akibat yang tidak diingini seperti membunuh diri atau penyakit mental yang lebih serius. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemurungan boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup seseorang individu sama ada dari segi kognitif, emosi, sosial mahupun fizikal.

Berdasarkan contoh ayat di atas penulis sebenarnya ingin menyampaikan maklumat kepada pembaca atau pendengar berkaitan penyakit depresi. Jika dilihat ayat tersebut mempunyai makna. Hal ini kerana ayatnya mempunyai perkaitan dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan oleh pembaca dan pendengar terhadap teks ini dapat dinilai. Justeru itu, pembaca dan pendengar dapat memahami tujuan penulis menulis wacana tersebut.

 

Penerimaan Rendah

Penerimaan rendah merujuk kepada sesuatu ayat disampaikan oleh penulis atau penutur yang tidak bermakna. Jika, ayat tersebut tidak membawa apa-apa makna maka ayat tersebut akan sukar untuk difahami oleh pendengar dan pembaca. Malah, ayat seperti itu tidak boleh dikategorikan sebagai sesebuah wacana kerana penerimaan pembaca terhadap ayat tersebut adalah rendah. Antara contoh ayat tersebut adalah:

Soraya merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Dia sering dimarahi oleh guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Berdasarkan ayat dia atas, ayat tersebut tidak boleh dianggap sebagai wacana kerana tidak bermakna dan secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Ayat di atas merupakan ayat berlawanan dengan ayat yang seterusnya. Jika dilihat ayat tersebut menerangkan ‘Soraya merupakan seorang pelajar yang cemerlang’ adalah berlawanan dengan ‘Dia sering dimarahi oleh guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan’. Jelaslah bahawa ayat tersebut tidak membawa makna dan sekaligus menyebabkan tujuan wacana ayat tersebut tidak jelas.

Apabila keadaan ini berlaku sudah pasti menimbulkan kekeliruan kepada pembaca dan pendengar kerana ianya akan mengakibatkan pembaca tidak memahami sesuatu ayat yang ingin disampaikan dengan jelas dan tepat. Malah penggunaan ayat ini juga tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Hal ini akan menyebabkan tahap tujuan seseorang penulis atau penutur tidak sampai kepada tahap penerimaan kerana sukar untuk memahami makna ayat tersebut. Oleh itu, ayat tersebut dianggap mempunai tahap penerimaan yang rendah dan tidak digolongkan sebagai sebuah wacana yang utuh.

Daniel seorang yang pemuda yang baik hati. Dia selalu memarahi orang tuanya kerana tidak mendengar permintaannya.

Berdasarkan ayat di atas, menunjukkan bahawa ayat tersebut membawa makna yang bertentangan dengan dengan makna ayat yang kedua. Ayat yang disampaikan kepada pembaca atau pendengar tersebut adalah tidak bermakna. Ayat di atas tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan satu ayat yang lain. ayat tersebut seharusnya apabila Daniel seorang pemuda yang baik hati maka sudah tentulah dia akan menghormati kedua ibu bapanya. Jika wujudnya pertentangan seperti yang berlaku pada ayat tersebut akan mengakibatkan pembaca keliru dalam memahami makna sebenar ayat tersebut.

 

Perkaitan Tahap Penerimaan dengan Tahap Kebolehbacaan

Menurut Zamanian & Heydari (2012), kebolehbacaan adalah satu proses interaktif antara ciri-ciri pembaca dan ciri-ciri teks yang dibaca. Manakala menurut Marohaini Yusoff, (2014) Kebolehbacaan merupakan satu konsep yang merujuk pada tahap atau darjah susah senangnya sesuatu bahan untuk dibaca. Bahan yang susah untuk dibaca dikatakan mempu nyai tahap kebolehbacaan tinggi dan bahan bacaan yang senang dibaca dikatakan mempunyai kebolehbacaan yang rendah. Maka dengan itu, jelas di sini bahawa tahap kebolehbacaan sesuatu bahan itu berbeza-beza bergantung pada tahap kebolehan membaca seseorang pembaca. Beberapa aspek seperti proses membaca iaitu pemahaman atau kefasihan ianya berkaitan dengan kebolehanbacaan. Jika, seseorang pendengar atau pembaca menguasai aspek tersebut maka secara tidak langsung akan mempengaruhi sesuatu tahap penerimaan terhadap bahan yang disampaikan oleh penulis atau penutur. Menurut Marohaini Yusoff (2014: 24), tahap kebolehbacaan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah perbendaharaan kata, pembentukan ayat atau jenis ayat dan panjang pendek ayat serta perkataan.

 Pemahaman terhadap sesuatu bahan bukanlah sekadar dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan bercetak tetapi juga turut bergantung kepada kelancaran dan kefasihan serta tarikan dan minat terhadap bahan yang dibaca. Hal ini merupakan elemen yang sangat penting supaya pembaca atau pendengar dapat memahami sesebuah wacana yang disampaikan oleh seseorang penutur atau penulis. Selain itu, aspek kebolehbacaan turut menegaskan tentang masalah pemahaman terhadap pengetahuan makna dan juga frasa serta boleh menghubungkan bahan-bahan yang dibaca dengan pengalaman-pengalaman seseorang. Oleh itu, aspek kebolehbacaan oleh seseorang pembaca dalam tahap penerimaan sangat penting supaya seseorang itu dapat membaca sesebuah wacana dengan baik dan seterusnya dapat memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan oleh seseorang penulis.

  

No comments:

Post a Comment