Latar Belakang Wacana
Menurut Sanat Md. Nasir (2002), wacana merupakan sebuah bidang kajian yang mempunyai sumber sejarahnya yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban keagamaan yang mengkaji kitab-kitab agama seperti teks Veda (1200-1000 S.M). Namun demikian, ada yang jauh lebih awal daripada kitab Hindu tersebut iaitu pada zaman suhuf-suhuf dan risalah nabi-nabi sejak Nabi Adam.
Dalam tradisi Barat pula, wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik klasik seawal abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam aliran linguistik awal oleh Aristotle (384-322 S.M.) dan seterusnya kepada aliran Stoik oleh Zeno pada 300 S.M. Namun demikian, retorik klasik mula suram apabila munculnya linguistik sejarah dan perbandingan pada awal abad ke-19. Seterusnya, lahir aliran struktural pada awal abad ke-20 yang mempengaruhi formalis Rusia dan strukturalisme aliran Praha seperti pada Morphology of the Folktale oleh Propp (1928) dan tentang perspektif ayat tugasan oleh Mathesius (1939). Maka, lahir konsep struktur tema dan struktur maklumat yang menjadi asas kepada runtutan teks.
Di Great Britain, aliran Firth (1935) telah berkembang di mana ia menghubungkan bahasa dengan persekitarannya melalui konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di Amerika Syarikat pula, terdapat tulisan yang menggunakan ungkapan analisis wacana oleh Harris (1952). Beliau menggunakan prosedur formal tentang penyebaran struktur kelas keserupaan yang melebihi ayat.
Analisis wacana moden bermula pada pertengahan tahun 1960-an iaitu munculnya analisis struktural wacana di Perancis. Selain itu, terdapat aliran tagmemik yang dipelopori oleh Pike, etnografi pertuturan oleh Hymes dan aliran tatabahasa stratifikasi oleh Lamb di Amerika Syarikat. Aliran linguistik dipelopori oleh Hartmann di Jerman. Di Great Britain, wujud aliran tatabahasa fungsional oleh Halliday yang kini dikenali dengan linguistik sistemik. Gleason (1968) berpendapat bahawa terdapat dua konstituen semologi dalam struktur wacana iaitu jalur peristiwa dan jalur peserta. Tahun1960-an ini menandakan perkembangan awal analisis wacana moden yang lebih bersifat deskriptif dan struktural terhadap genre wacana popular atau peribumi. Aliran ini bergerak bebas dan bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu tatabahasa transformasi generatif.
Analisis wacana pada tahun 1970-an merupakan analisis secara sistematis dalam disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan ini merupakan tentangan terhadap tatabahasa formal dan bebas konteks transformasi generatif. Antara terbitan yang besar dalam tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976). 1980-an dan awal 1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan berkembang kerana terdapat terbitan yang besar dalam tempoh tersebut daripada Beugrande dan Dressler (1981) iaitu Introduction to Text Linguistics, Longacre (1983) dengan The Grammar of Discourse, Halliday (1985) dengan An Introduction to Functional Grammar, Martin (1992) dengan terbitannya iaitu English Text: System and Structure, dan Cook (1994) iaitu Discourse. Perkembangan yang berlaku pada pertengahan 1990-an dan awal abad ke-21 menunjukkan bahawa analisis wacana telah memasuki tahap kritis seperti dalam Fairclough (1995, 2001 dan 2003). Beliau juga telah menghasilkan karya lebih awal daripada itu seperti Discourse and Social Change pada 1992.
Latar Belakang Wacana Bahasa Melayu
Menurut Sanat Md. Nasir (2002), kajian wacana bahasa Melayu dikatakan masih baru dan ada pendapat yang mengatakan bahawa Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan pelopor analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.
Harimurti Kridalaksana (1970) ada menulis makalah beliau yang bertajuk ‘NYA sebagai penanda anafora’. Pada tahun 1978, beliau juga telah menulis kertas kerja yang bertajuk ‘Keutuhan Wacana’ dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa. Artikel tersebut membincangkan tentang keutuhan wacana sebagai salah satu aspek analisis wacana. Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik dan linguistik teks. Asmah Haji Omar ((1980a dan 1980b) telah menulis dua buah artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk ‘Analisis Wacana’ dan ‘Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran Berkomunikasi: Pendekatan Wacana’. Dalam artikel yang pertama itu, beliau telah menunjukkan penggunaan tiga jenis analisis wacana, iaitu kaedah Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan Coulthard. Artikel lain seperti Lufti Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985). Kemunculan banyak penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu seperti artikel, disertasi dan buku yang berlaku dalam tahun 1980-an merupakan kesan daripada aktiviti penyelidikan wacana sebagai satu disiplin yang rancak di Eropah dan di Amerika Syarikat.
Selain itu, penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara serius dalam peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi latihan ilmiah yang diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994 mendapati bahawa latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun 1984. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat kurang daripada 14 buah latihan ilmiah tentang kajian wacana dalam tempoh tersebut sehinggalah tahun 1989. Penelitian di peringkat sarjana sepanjang tempoh tahun 1980-an setakat yang terkumpul ialah Sucipto (1987) dan Wong (1988). Sucipto melihat unsur tautan manakala Wong mengkaji kesinambungan topik.
Abdul Aziz Idris (1982), Farrerty (1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988) banyak melakukan penyelidikan wacana pada peringkat disertasi kedoktoran. Abdul Aziz berfokus pada aspek struktur tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan bahasa Melayu dan Inggeris mankala Rafferty pula melihat kepada struktur wacana bahasa Indonesia yang dituturkan oleh orang Cina di Malang, Indonesia. Seterusnya, Azhar meneliti aspek sintaksis wacana dalam bahasa Malaysia dan Tallie cuba mengkaji keterpaduan, keruntutan, dan keterbacaan wacana buku pelajaran bahasa Indonesia di peringkat sekolah dasar melalui pendekatan analisis wacana.
Pada awal 1990-an, berlakunya kerancakan dalam penelitian tentang wacana bahasa Melayu daripada Sato (1991) yang menghasilkan tesis Ph.D bertajuk ‘Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah’. Beliau lebih fokus kepada hubungan antara susunan ayat yang logikal dengan susunan maklumat. Soeseno (1992) dalam syarahan perdana memilih tajuk ‘Analisis Wacana dan Penerapannya’ dan beliau secara meluas telah menyentuh topik-topik seperti analisis wacana sebagai cabang ilmu bahasa, perbezaan antara wacana lisan dengan tulisan, konteks situasional, prinsip interpretasi lokal dan analogi, implikatur, presuposisi, inferensi, referensi, pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan tentang dunia. Terdapat juga pengkaji-pengkaji yang menulis artikel atau kertas kerja seperti Samsuri (1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat Md. Nasir (1992;1994;1995a dan 1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail (1993;1994) dan Zahrah (1995).
Jika ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh 1990 hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Dua buah latihan ilmiah itu terdiri daripada Hasnah (1994), “Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu” dan Tan (1994), “Tautan dalam Bahasa Melayu”. Kedua-dua latihan ilmiah tersebut menggunakan kerangka Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976).
Selain itu, kajian wacana sebagai subjek kursus pada peringkat sarjana muda di universiti tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985) telah membuat tinjauan tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari segi konsep dan aliran. Tinjauan itu mendapati bahawa hanya Jabatan Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang ada menawarkan kursus tersebut kepada mahasiswa-mahasiswanya. Namun demikian, kursus itu juga dianggap umum kerana sekadar menyatakan topik tentang teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti tranformasi generatif. Seterusnya, Jabatan Pengajian Melayu di National University of Singapore, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia sudah menawarkan kursus ‘Analisis Wacana’ di peringkat ijazah bagi sesi 1989/90. Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya mula menawarkan kursus tersebut pada sesi 1993/94 dengan tajuk ‘Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu’.
Ciri – Ciri Wacana
Menurut Beaugrande dan Dressler (1981), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks.
i. TAUTAN
Menurut Sanad Md. Nasir (2002), tautan atau kohesi adalah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap. Perkara ini selalu dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan adalah penting kerana melalui tautan, ia dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu kesatuan.
Halliday dan Hasan telah cuba melihat makna tautan makna itu dari aspek dua sudut iaitu tautan nahuan dan tautan leksikal. Maka hasil daripada kajian mendapati kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.
Contohnya:
1. Ali, Abu dan Faris ke padang. 2. Mereka ke sana untuk bermain bola. |
Berdasarkan contoh di atas, terdapat tautan dalam kedua-dua ayat tersebut iaitu perkataan ‘mereka’ dalam ayat kedua merujuk kepada Ali, Abu dan Faris. Perkataan ‘sana’ merujuk kepada padang. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai tautan ini dianggap sebagai wacana yang bermakna dan difahami oleh pembaca.
Tautan menurut Model Tautan Pindaan terbahagi kepada tiga jenis tautan yang utama iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat. Berikut merupakan penerangan secara ringkas mengenai jenis tautan serta subjenis tautan yang terdapat dalam Model Tautan Pindaan (MTP) oleh Sanad Md. Nasir.
Jenis Tautan Utama | Subjenis Tautan |
Tautan Perulangan | i. Tautan Perulangan Rujukan ii. Tautan Perulangan Penggantian iii. Tautan Perulangan Elipsis iv. Tautan Perulangan Leksikal v. Tautan Perulangan Parafrasa vi. Tautan Perulangan Paralelisme vii. Tautan Perulangan Struktur dan Makna Sama |
Tautan Kolokasi | i. Tautan Kolokasi Antoniman ii. Tautan Kolokasi Kohiponiman iii. Tautan Kolokasi Hasil iv. Tautan Kolokasi Sifat |
Tautan Penghubung Ayat | i. Tautan Penghubung Ayat Tambahan ii. Tautan Penghubung Ayat Tentangan iii. Tautan Penghubung Ayat Sebab-Musabab iv. Tautan Penghubung Ayat Waktu v. Tautan Penghubung Ayat Terusan |
ii. RUNTUTAN
Runtutan atau koheran didefinisikan sebagai kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna. Menurut Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid pula mendefinisikan runtutan sebagai susunan fikiran ayat secara logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu.
Menurut F.J Angelo dalam Tarigan, runtutan terbahagi kepada penambahan, rentetan, kata ganti diri, pengulangan, sinonim, keseluruhan dan bahagian, kelas dan anggota, penekanan, perbandingan dan sebagainya. Pembahagian aspek runtutan terbahagi kepada aditif atau penambahan, rentetan, pengulangan, penekanan, hubungan keseluruhan dan bahagian, hubungan hasil dan kegagalan, hubungan perbandingan, hubungan ibarat dan hubungan tujuan.
a) Aditif atau Penambahan
Fungsi aditif adalah untuk memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara. Terdapat pelbagai jenis aditif seperti dan, lalu, malahan, tambahan pula, di samping itu dan sebagainya. Contohnya,
Encik Jamal disukai ramai kerana selalu menolong orang kampung. Tambahan pula, dia seorang ketua kampung yang adil dan baik hati. Dia juga seorang yang murah hati dan prihatin terhadap masalah penduduk Kampung Tengah. |
b) Rentetan
Digunakan sebagai tanda untuk memperkatakan sesuatu secara berurutan dan menjelaskan sesuatu proses. Misalnya:
Selepas bangun tidur, saya akan mengemas katil. Kemudian, saya akan pergi ke tandas untuk mandi. Selepas itu, saya akan menunaikan solat subuh. Setelah itu, saya akan bersarapan sebelum ke kelas. Akhir sekali, aku menunggu bas untuk ke kampus. |
c) Pengulangan
Pengulangan sering digunakan sebagai penegasan sesuatu maklumat yang diperkatakan. Apabila sesuatu maklumat diulang banyak kali, pembaca boleh memahami dengan jelas tentang topik yang diperkatakan. Misalnya:
Ibu merupakan orang yang paling berjasa dalam kehidupan seseorang kerana melahirkannya ke dunia. Ibu juga yang menyuapkan makanan kepada saya. Selain itu, ibulah insan yang berjaga siang dan malam untuk menjaga saya ketika sakit. |
d) Penekanan
Penekanan ditandai dengan kata sesungguhnya, sungguh, memang, nampaknya dan bahawasanya. Kata penekanan merupakan bentuk penegasan bagi kata yang bergabung dengannya. Misalnya:
1) Iman memang seorang yang kedekut. 2) Sungguh nakal murid itu di sekolah. |
ii. TUJUAN
Tujuan dan penerimaan merupakan salah satu ciri penting yang perlu ada dalam wacana kerana ia berkaitan dengan tautan dan runtutan. Setiap perkara yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan mestilah mempunyai tujuan atau objektif tertentu. Tujuan itu akan ditentukan oleh penulis atau penutur itu sendiri. Sesuatu ujaran atau tulisan itu mestilah mempunyai tujuan untuk mewujudkan interaksi yang komunikatif antara penutur. Akhirnya, tujuan tersebut akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk menentukan tujuan seseorang penulis atau penutur itu:
Menentukan Tujuan Melalui Ayat:
Ø Ayat tanya
Ayat tanya memainkan peranan yang penting dalam mengenalpasti tujuan terhadap sesuatu ujaran atau tulisan. Menurut Tatabahasa Dewan (2008), terdapat dua jenis ayat tanya iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup. Kedua-dua jenis ayat ini pula akan menghasilkan tujuan tertentu. Sekiranya pertanyaan merupakan ayat tanya terbuka, jawapan adalah bersifat pelbagai. Manakala bagi ayat tanya tertutup pula jawapannya hanya memberi pilihan sama ada ya atau tidak.
Ø Ayat perintah
Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2006), ayat perintah merupakan ayat yang bertujuan untuk memberi arahan, larangan, ajakan atau menyampaikan permintaan.
Ø · Ayat seruan
Menurut Ahmad Khair (2009), ayat seruan digunakan untuk menunjukkan perasaan yang kuat, kagum, marah, sakit atau hairan.
iii. PENERIMAAN
Penerimaan merupakan pemahaman pendengar atau penutur terhadap teks yang diujar atau ditulis. Aspek ini berkait rapat dengan aspek tujuan. Hal ini dikatakan demikian kerana kefahaman yang tinggi tentang tujuan sesuatu teks akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap teks tersebut turut meningkat. Ini bermakna pembaca atau pendengar akan lebih memahami teks tersebut. Seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis mahupun penutur sama ada ia dapat difahami atau sebaliknya. Oleh yang demikian, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah wacana. Penerimaan terdiri kepada dua tahap iaitu:
a) Tahap Penerimaan
b) Tahap Kebolehbacaan
iv. STRUKTUR MAKLUMAT
Terdapat beberapa tokoh yang memberikan pandangan terhadap struktur maklumat ini seperti Halliday dan Sanat Md Nasir. Halliday yang dipetik melalui Mohd Rashid Md Idris (2004) mendefinisikan struktur maklumat sebagai aspek yang termasuk dalam fungsi makna komponen tekstual selain menjadi sebahagian daripada organisasi tema wacana. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa struktur maklumat sebagai organisasi teks atau wacana berdasarkan maklumat lama atau maklumat baharu. Sanat Md. Nasir yang dipetik melalui Mohd. Rashid Md. Idris (2007) menjelaskan struktur maklumat adalah struktur yang membina unit maklumat. Unit maklumat yang dimaksudkan ialah unit struktural yang terdiri daripada maklumat lama dan maklumat baharu.
UNIT MAKLUMAT = MAKLUMAT LAMA + MAKLUMAT BARU |
Berdasarkan rumus di atas, maklumat lama adalah bersifat opsional atau pilihan iaitu maklumat tersebut akan dialirkan sekiranya terdapat perubahan status idea semasa proses memahaminya.
v. KEADAAN
Keadaan yang dimaksudkan dalam wacana adalah latar sewaktu bahasa itu digunakan untuk membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu teks tersebut. Misalnya, ungkapan “Jangan masuk” dapat difahami oleh pendengar kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang melarang orang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Nik Hassan Nik Basri mengatakan bahawa latar juga adalah keterangan, gambaran persekitaran atau keadaan yang berkaitan yang meliputi perihal tentang masa, tempat, masyarakat atau suasana yang terjadinya sesuatu peristiwa dalam sesebuah karya. Sebagai contoh di dalam karya terdapat pelbagai jenis latar seperti latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah dan sebagainya.
Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri. Oleh sebab itu, setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat kerana ia akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Contoh gaya formal adalah seperti interaksi antara guru dan murid. Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.
Wacana perlu ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan, jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Selain itu, jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat tanya. Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan.
vi. INTERTEKS
Interteks merupakan pengetahuan sedia ada pembaca mahupun pendengar mengenai sesuatu perkara yang diperkatakan, maka tahap penerimaan menjadi semakin tinggi apabila masyarakat semakin banyak mendengar dan membaca sesuatu maklumat. Melalui interteks, pembaca atau penerima akan lebih memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan oleh penulis atau penutur. Kefahaman seseorang terhadap sesuatu wacana yang dibaca atau didengar akan membantunya menghasilkan interteks. Interteks juga perlu mempunyai pertalian. Interteks boleh dilihat melalui ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan serta buku dengan buku. Contoh seperti di bawah:
Motor itu berwarna merah. Haris menunggang motor itu. |
Berdasarkan contoh ayat di atas, ia menunjukkan wujud ciri interteks. Melalui ayat kedua, kita mengetahui Haris menunggang motor merah melalui peryataan pada ayat pertama.
RUJUKAN
Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob. (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publication.
No comments:
Post a Comment